September 27, 2017

Ekspedisi laut di Outward Bound School, Lumut - Part 1

Assalammualaikum.

Berasa terpanggil kalini nak berkongsi pengalaman 'penyeksaan' mental dan fizikal di Outward Bound School (OBS) Lumut. Bukan sehari dua tau, tapi 5 hari 4 malam. Tanpa handphone, tanpa instagram, tanpa Facebook dan tanpa Whatsapp (tu yang paling tak tahan). Semestinya pergi bukan atas dasar sukarela. Ia suatu penyeksaan wajib buat staff baru, ibarat program brainwash!

Dicalonkan untuk menyertai program ni je dah terlalu berat. Banyak nak fikir. Rindu suami, rindu anak-anak. Tapi ada yang lagi runsing, dilema ibu menyusu! [Dah pam nanti nak simpan kat mana? Kalau aktiviti padat sangat, sempat ke nak pam? Kalau dah start pam lambat nanti milk production' menurun pulak.] Eh, macam-macam sangat! Tapi selain daripada di atas, teruja juga sebenarnya. Sebab dah lama sangat tak mengeksplorasi alam.
Gambar ketika wajah semua orang masih cerah dan berseri. Haha
Malam sebelum bertolak.

Malam tu, seperti biasa, baru nak mengemas baju ke dalam bagasi, masih dengan perangai 'last minute packing'. ~haih~ Walaupun anak dah ramai, dan memang selalu pun kabut dek kerana tak ada persiapan awal, masih, tak pernah belajar. Masa ni juga laa baru sibuk mencari jenis-jenis pakaian, barang mandian, dengan alatan 'camping' lagi. Bila tak sempat lipat, mulalah nak sumbat. Tapi terpaksa punggah dan susun balik sebab nak kurangkan jumlah bagasi. Tak cukup dengan kalut mengemas, anak-anak pulak meragam, semua jadi serba tak kena. Seorang mula menangis, sambung lagi seorang, lepas tu, seorang lagi. Rasa nak menyorok kat bucu katil sebab dah berat hati sangat nak pergi. Maka, malam tu, berjujuran laaaa air mata hingga terbuai dek mimpi.

Hello OBS! Hari Pertama.

Bas dijangka berlepas dari KL pada 8.30 pagi. Sambil nak tunggu tu, menangis puas-puas dengan Fandy dulu, peluk cium segala. Rasa macam nak pergi buat Haji je. Hahaha! Kita pun bagi la lambaian selamat tinggal buat sang suami, merakuskan lagi limpahan air mata. Masha Allah, drama ok! Siap hantar gambar sendiri banyak-banak, kot nanti dia rindu.
Sedih.. Nangis-nangis sebelum angkat keluar barang ni semua..
Perjalanan ke Lumut mengambil masa hampir 5 jam. Suasana sepi je dalam bas. Masing-masing perasaan bercampur-baur. Lagipun masing-masing tak berkenalan rapat lagi, sekadar kenalan di pejabat yang tak pernah bertegur sapa pun. Itu yang membuatkan suasana lebih suram dan murung.

Ketibaan kami disambut oleh instructor OBS, garang sungguh raut wajah mereka. Kami diberi taklimat mukadimah, apa yang boleh dan tidak, peraturan yang perlu dipatuhi serta disiplin yang perlu ada. Dalam fikiran setiap dari kami, dah ada anggapan, 'macam kem askar dah ni!'.
sekeliling Outward Bound School, Lumut
Mana taknya, handphone dirampas, makan dan minum kena ikut waktu. Kalau seorang tak sampai lagi, semua pun tak boleh makan. Lepas makan kena cuci tray sendiri. Ada rutin pembersihan. Kena tiba di setiap lokasi aktiviti tepat pada waktu. Aktiviti pula bermula seawal 6.30 pagi. Ada dress code, tak boleh pakai selipar diluar kawasan luar dorm, nak pergi dining hall kena baju masuk dalam (bagi lelaki). Benda-benda macam tu laa, perkara yang dah lama kita tak amalkan semenjak meninggalkan zaman persekolahan.

Selepas makan tengahari, kami diarahkan ke kawasan lapang yang menghadap laut. Angin sepoi bahasa masih tak membantu meredakan perasaan rindu membuak terhadap keluarga di rumah. Kami diperkenalkan dengan aktiviti 'mingle mingle'. Kaedahnya ialah, kami diminta untuk melakonkan salam perkenalkan bersesuaian dengan budaya atau ikon sesebuah negara. Contohnya, Jepun. Terkenal dengan 'geisha'. Jadi kami kena bersalam sambil ketawa simpul malu. Haa.. Itu antaranya laa. Ada beberapa lagi. Tapi kalau ditanya harini, memang tak ingat dah laa. Hehe. Tapi, sedikit sebanyak aktiviti ni memberi kami peluang untuk lebih mesra dan rapat. Tak ada dah lah rasa kekok macam tu.


Lewat petang tu, sambil tunggu waktu Maghrib, kami lepak kat gigi laut, menikmati suasana matahari terbenam, sambil dengar bunyi desiran ombak, angin bayu laut, dan berbual-bual kosong. Saat-saat macam tu, buat Leen teringat keseronokan dan kepuasan menyertai aktiviti-aktiviti alam masa belajar dulu. 

Usai solat dan makan, kami yang telah dipecahkan kepada 2 kumpulan dikumpulkan berasingan bersama instructor masing-masing. Sesi malam tu ringkas je, lebih kepada suai kenal.

Hari Kedua.

Hari kedua bermula dengan kerahan tenaga untuk senaman pagi. Malangnya, badan dah tak fit. Baru beberapa pusingan lari, dah sakit abdomen dan kaki. Orang lain jogging, kita mampu jalan je. Tapi di pengakhiran larian, sebab taknak la tunjuk lemah sangat, digagahkan juga untuk lari sebab tinggal beberapa pusingan je lagi. Dan akhirnya, wallah! Berjaya juga!! Tips: Jangan putus asa!

Habis sarapan, kami berkumpul di gym hall untuk aktiviti berkumpulan. Kami diminta melambung dan menangkap bola menggunakan tent sheet. Kalau berjaya dengan 1 bola, kena tambah sampai jumlah bola yang kita boleh. Dengar macam senang. Tapi tidak dik. Tidak! Terutama bila tak ada strategi yang tepat, komunikasi yang efektif dan kerjasama dalam kumpulan. 

Seterusnya, kami diajar untuk menyimpul tali. Ada banyak rupanya jenis simpulan. Dan kebanyakannya kita gunakan dalam kehidupan seharian. Yang Leen paling ingat, simpul 'mickey mouse' laa. Haha! Rupa-rupanya, aktiviti simpulan ni baru warm up je tau, persediaan untuk aktiviti yang menyeksakan mental dan fizikal esoknya!

Kami kemudiannya dibawa ke boat house. Diperkenalkan kepada jenis bot, bahagian bot dan alatan-alatan yang diperlukan untuk mengemudi bot. Bot kecil je, tak macam Pirates of the Caribbean tu. Ingatkan sekadar tengok je. Rupanya kena keluarkan semua alatan tu, susun kat padang lapang. Tak cukup dengan tu, kena pasang semua alatan tu ke atas bos. Tak ringan dan tak sedikit okay. Panas terik dikala itu ditambah dengan angin bahang laut. Fuh! Tak semudah yang disangka.




Selesai makan tengahari, kami kena sambung aktiviti pemasangan bot tadi dan belajar pula teknik mengemudi bot. Haa. Pernah laa juga, tengok kat TV, orang mendayung whaler. Nampak mudah, coordination cantik je, row pun serentak, laju bukan main. Namun begitu, buat pendayung pertama kali macam kami ni, memang susah. Row berat. Kalau tak betul pegangannya, boleh menggelongsor jatuh ke dalam laut. Teknik dayungan kena tepat, seiring dengan pergerakan badan. Kalau row menggunakan tangan je, akibatnya lenguh dan sakit seluruh badan. Dayungan pula, kalau tak serentak, melambatkan pergerakan bot, menyukarkan pendayung lain dan segalanya semakin mustahil, destinasi pun harapan je nak sampai. Hahaa! Tapi, okay lah lepas 2 jam latihan. Dah boleh dapat rentak sikit-sikit.

Malamnya, kami ditaklimatkan mengenai keseluruhan ekspedisi kami ke Pulau Syawal. Tentang aktiviti whaling yang akan mengelilingi Pulau Pangkor, waktu bertolak, arah tiupan angin serta arus ombak, barang-barang yang perlu dibawa dan perkara yang perlu kami tahu apabila mengembara di lautan luas. Malam tu, tidur tak berapa nak lena. Gemuruh dan teruja. Sebab semuanya serba tak pasti. Penyeksaan apa yang bakal kami lalui.....

p/s; nantikan sambungan di Part 2 okay!

No comments:

Post a Comment